fbpx

Jumlah kes dan kematian akibat denggi menurun tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan penurunan ketara kes denggi sepanjang tahun lalu berbanding tahun 2019 termasuk jumlah kematian membabitkan denggi.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, KKM memaklumkan, sebanyak 90,304 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun 2020 berbanding 130,101 kes pada tahun 2019.

Selain itu, katanya, jumlah kematian akibat denggi juga menurun tahun lalu kepada 145 kematian berbanding 182 kematian pada 2019.

“Johor merekodkan kematian tertinggi dengan 43 kematian diikuti Selangor (37), Sabah (17), Negeri Sembilan (10), Melaka (sembilan), Pahang (lapan), dan masing-masing tujuh di Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, tiga kematian direkodkan di Perak dan masing-masing dua kematian di Pulau Pinang dan Sarawak.

“Bagaimanapun, tiada kematian akibat denggi dilaporkan di Perlis, Kedah, Terengganu dan Labuan sepanjang tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, seperti mana tahun sebelumnya, Selangor terus mendahului jumlah kes denggi tertinggi iaitu 44,635 kes tahun lalu diikuti, Johor (11,622), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya (10,631), Sabah (4,078), Kelantan (3,889) dan Pahang (3,220).

Dalam pada itu, Negeri Sembilan dengan 2,891 kes, Melaka (2,843), Perak (2,665), Sarawak (1,516), Pulau Pinang (1,043), Kedah (780), Terengganu (404), Perlis (80) dan Labuan (7).

KKM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara diatas kerjasama membanteras denggi sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, berdasarkan data dikeluarkan Pasukan Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), sebanyak 675 kes denggi dilaporkan bagi minggu (27 Disember 2020 hingga 2 Januari 2021) lalu dengan satu kematian direkodkan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI