fbpx

RM232 juta diagih ke semua negeri persiapan hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Bantuan berjumlah RM232 juta telah diagihkan dan disalurkan kepada semua negeri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan menghadapi bencana di seluruh negara tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, Nadma bersedia menyalurkan peruntukan tambahan jika diperlukan mengikut permohonan negeri berdasarkan jumlah ketua isi rumah (KIR) yang terjejas.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 3 Oktober lalu sudah mengarahkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

“Ini bagi memastikan tindakan seberapa segera diambil apabila berlakunya sebarang kejadian bencana termasuk banjir besar,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Parlimen.

Anwar berkata, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan JPBD juga diarahkan bersedia lebih awal untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.

Kata beliau, satu High Level Committee (HLC) juga telah dibentuk sejak MTL 2023/2024 bagi memperincikan gerak kerja tindak balas bencana yang lebih terselaras.

Tambah beliau, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat kini dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dengan sokongan 37,127 unit pelbagai aset.

“Ini membabitkan 2,031 unit bot penyelamat; 1,399 unit jentera kenderaan 4×4; 1,646 unit jentera kenderaan berat; 31 unit helikopter; 30,260 unit jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa dan 1,760 unit jambatan panel keluli bermodular.

“Bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 2,158,743 mangsa di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI