fbpx

Teraju sedia dana RM100 juta untuk syarikat Bumiputera melalui i-WCPF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam di Hotel and Resort M, Kuala Lumpur. SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menyediakan dana sebanyak RM100 juta untuk syarikat Bumiputera melalui Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, i-WCPF merupakan sumber pembiayaan alternatif jangka pendek dilaksanakan secara ‘peer-to-peer’ (P2P) atau rakan setara yang berlandaskan syariah.

Rafizi berkata, i-WCPF bukan sahaja menyediakan akses pantas dan mudah melalui paltform digital, malah memudahkan perusahaan Bumiputera mengembangkan operasi di peringkat domestik dan global.

“Selalunya yang ambil P2P ini ialah untuk dua hingga tiga bulan. Macam saya sebut tadi, contohnya syarikat nak tunggu bayaran tak sempat nak pusing modal, dia boleh gunakan invois perolehan syarikat atau kerajaan untuk dapatkan dana.

“Kadar keuntungan (P2P) ini boleh dikira baik berbanding dengan produk sedia ada dan ia secara tidak langsung membuka ruang kepada syarikat Bumiputera untuk letakkan dana mereka kerana kadar keuntungannya lebih baik daripada bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Teraju Connect 2024 i-WCPF di Hotel dan Resort M, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada mandat yang diberikan kepada Teraju untuk membina ekosistem usahawan Bumiputera yang lebih lengkap.

“Ia bukan sekadar kerajaan beri wang tetapi kita juga perlukan usahawan yang telah berjaya untuk masuk dan membimbing dari segi latihan dan sebagainya.

“Hasrat saya adalah supaya Teraju berjaya menggalas tanggungjawab sepertimana Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) membantu syarikat Cina. Kita mahu Teraju sampai ke peringkat itu, barulah kita dapat bantu banyak syarikat Bumiputera,” jelasnya.

Tambah Rafizi, i-WCPF diharap dapat meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian bekalan dan sektor bernilai tinggi serta membantu membina rekod kewangan yang lebih tersusun.

Untuk rekod, terdapat dua kategori di bawah i-WCPF iaitu perkhidmatan pembiayaan dan pemudahcaraan yang menawarkan dalam bentuk nota pelaburan islamik, pra dan pasca invois selaras dengan Rancangan Perniagaan Teraju 2024-2030.

Berbekalkan dana sebanyak RM100 juta, i-WCPF menawarkan had sehingga RM1 juta kepada syarikat sasaran dalam industri pertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) dengan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI