fbpx

‘Walaupun bawa watak penyondol, saya yakin penonton faham’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mira Filzah lebih selesa tidak mengulas perkara berkaitan orang ketiga atau penyondol yang kembali hangat diperkatakan. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Enggan mencampuri hal rakan seperjuangan lain, pelakon Mira Filzah lebih selesa tidak mengulas perkara berkaitan orang ketiga atau penyondol yang kembali hangat diperkatakan.

Kata Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, dia sendiri mempunyai keluarga serta rumah tangga yang perlu dijaga sekali gus membuatkannya berhati-hati melontarkan pandangan.

“Saya sebenarnya tak mahu komen tentang isu penyondol sebab nampak kurang manis bagi pendapat pada perkara yang saya sendiri tak tahu hujung pangkal.

“Lagi pun saya mempunyai anak dan suami yang perlu dijaga, jadi lebih baik kalau saya tak bagi komen,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Hikayat Bawah Putih Bawang Merah, baru-baru ini.

Ditanya sama ada timbul perasaan gusar disogokkan isu penyondol, akui ibu kepada seorang anak itu hanya doa mengiringi perjalanan kehidupan mereka sekeluarga.

Akuinya Mira lagi, sedikit sebanyak memang timbul kebimbangan namun semuanya berbalik kepada aturan Allah.

“Saya percaya semua wanita akan berasa takut sekiranya rumah tangga mereka diganggu, itu memang naluri manusia, cuma kita doa yang baik-baik,” ujarnya.

Mira yang bergandingan dengan pelakon Shukri Yahya dalam drama Curang Tanpa Niat, turut mengakui kisah curang banyak diangkat sebagai rencah cerita.

Begitupun, akuinya dia terbuka untuk beraksi dalam naskhah sebegitu memandangkan banyak mesej positif disampaikan kepada khalayak.

“Walaupun bukan saya yang bawa watak penyondol atau orang ketiga, saya yakin penonton pun faham kisah sebegini bawa pengajaran.

“Kebanyakan drama yang saya lakonkan sebelum ini pun ada tentang orang ketiga contohnya Pujaan Hati Kanda dan Cinta Si Wedding Planner.

“Kali ini kebetulan tajuk drama baru gunakan perkataan curang, tapi saya tak risau terpalit isu kerana itu tanggungjawab saya sebagai pelakon dan kerja juga adalah sebahagian daripada ibadah,” ujarnya.

Menerusi perkahwinannya dengan arkitek, Wan Emir Astar pada 3 September 2020, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI