fbpx

Trauma rumah dibadai kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Naim melihat kawasan persekitaran rumah pusaka peninggalan arwah bapanya yang musnah akibat dilanda kepala air di Kampung Teluk Rambong di Baling. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

BALING – Penduduk Teluk Rambong di sini masih trauma dengan kejadian kepala air atau banjir puing yang melanda kawasan rumah mereka pada malam kelmarin.

Penduduk, Mohd. Naim Asri Baharom, 46, berkata, dia akan rasa berdebar-debar setiap kali berlaku hujan lebat dan melihat arus deras sungai.

“Bila tengok kesan kemusnahan pada rumah pusaka peninggalan arwah ayah saya ini, saya jadi trauma kerana bimbang kepala air datang lagi.

“Arus deras itu turut menghanyutkan sisa kayu dan jambatan ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, ia merupakan kejadian kepala air kedua yang teruk selepas hujung bulan lalu.

“Rumah saya antara yang paling teruk terjejas, sementara yang lain ditenggelami banjir,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Yusof Mohd. Nor, 61, yang mengusahakan dusun durian dan tanaman kontan di kampung itu turut menyuarakan kesukaran untuk mereka menjalani kehidupan harian apabila tiga jambatan di situ roboh.

Katanya, jambatan itu digunakan penghuni di 20 buah rumah yang tinggal di seberang sungai untuk berulang-alik ke masjid, menghantar anak sekolah dan mengeluarkan hasil kebun.

“Jambatan ini yang paling dekat untuk kami menyeberang sungai, jadi kami harap pihak berkaitan dapat menyediakan jambatan yang lebih kukuh. Jambatan sekarang ini hanya guna batang pokok kelapa yang mampu bertahan beberapa bulan sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI