fbpx

MotoGP: Rossi ‘hidupkan’ semua sengketa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSSI dan Marquez terlibat dalam insiden kontroversi di Litar Sepang pada musim 2015 yang menggemparkan dunia MotoGP. - AFP

LONDON – Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta menasihatkan agar Valentino Rossi agar tidak terus membangkitkan isu lama berkaitan Marc Marquez selepas legenda MotoGP itu sekali lagi mengkritik seteru lamanya berhubung insiden 2015.

Dalam satu podcast baru-baru ini, Rossi sekali lagi membangkitkan mengenai perebutan gelaran dunia musim tersebut dan menuduh Marquez sengaja ‘bermain kotor’ dan konspirasi untuk menidakkan peluangnya meraih gelaran juara dunia yang akhirnya dimenangi oleh Jorge Lorenzo.

“Saya rasa lebih baik perkara ini dibiarkan sahaja. Ia sudah lama berlalu. Saya menghargai terutama tindakan Marquez yang tidak memberi sebarang komen balas mengenai kenyataan Rossi,” kata Ezpeleta.

Ezpeleta turut menjelaskan bahawa dia sememangnya menghormati Rossi dan sumbangannya terhadap MotoGP, tetapi menegaskan bahawa membangkitkan isu lama tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Saya tidak boleh memberitahu Valentino apa yang dia patut buat atau tidak. Isu tersebut telah berlaku bertahun lamanya. Saya amat menghormatinya dan amat berterima kasih atas apa yang telah dia lakukan untuk sukan kami,” tambahnya.

Dalam podcast bersama Andrea Migno, Rossi turut melabel Marquez sebagai pelumba paling ‘kotor’ dalam sejarah sukan tersebut.

“Marquez adalah pelumba yang kuat, seorang juara, tetapi dia terlalu agresif. Namun, pada 2015, dia telah melampaui batas.

“Ramai pelumba yang agresif untuk menang bagi diri mereka sendiri, tetapi tidak ada yang seperti Marquez yang secara terang-terangan bertindak untuk memastikan pelumba lain kalah,” kata Rossi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI