fbpx

Kes kematian model Belanda: Polis kemuka ‘Notis Biru’ jejak pasangan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Ivana

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, polis telah mengemukakan ‘Notis Biru’ kepada Interpol bagi mengesan lokasi pasangan warga Amerika Syarikat (AS) berhubung kematian mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smith pada 2017.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli pada perbicaraan kes saman keluarga Ivana terhadap empat entiti termasuk kerajaan Malaysia di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.

Menurut Nuur Zul Izzati, notis itu dikemukakan pada Rabu minggu lalu terhadap Alexander William Johnson, 51, dan Lunara Almazkyzy, 37, yang dikaitkan dengan kematian Ivana.

Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat mengenai orang yang menjadi perhatian, dan ini adalah notis kedua yang dikeluarkan terhadap pasangan itu, selepas notis pertama dikeluarkan pada 18 November 2020.

Peguam, Datuk S.N Nair yang mewakili ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berkata, berikutan itu perbicaraan hari ini dikosongkan kepada 21 Oktober yang mana perbicaraan asalnya ditetapkan hari ini dan Rabu.

Christina Carolina, 60 selaku plaintif memfailkan saman itu pada pada 20 November 2020, terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Saman itu berhubung atas dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.

Pada 7 Disember 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan polis dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan plaintif atas alasan kes tersebut tidak sesuai dibatalkan kerana terdapat persoalan serius yang perlu dihujahkan melalui perbicaraan penuh.

Sebelum ini, Mahkamah Koroner pada 18 Mac 2019, memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, wanita itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 Novemner 2019.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI