fbpx

Faizal beri bayangan gantung kayu hoki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL dalam dilema sama ada mahu berehat seketika atau bersara sepenuhnya daripada saingan hoki antarabangsa.

PENYERANG sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari kini dalam dilema untuk bersara selepas 15 tahun cemerlang dalam arena sukan hoki meskipun sekali lagi muncul penjaring terbanyak Piala Tun Abdul Razak 2024 baru-baru ini.

Namun, kejayaan tersebut mungkin menjadi antara yang terakhir apabila Faizal mendedahkan sedang mempertimbangkan untuk menggantung kayu hoki buat sementara waktu.

Faizal mengakui hasrat berehat bukan perkara baharu, namun perbincangan dengan jurulatih masih berjalan bagi menentukan keputusan terbaik sama ada untuk bersara sepenuhnya atau sekadar mengambil masa rehat selama beberapa bulan.

“Saya sudah lama terlibat dalam sukan ini dan mungkin berehat selama tiga hingga empat bulan adalah pilihan yang baik. Tetapi saya masih fikirkan apa yang terbaik untuk diri saya dan pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Biarpun masa depannya bersama skuad kebangsaan masih kabur, namun Faizal menegaskan kesetiaannya terhadap Pasukan Hoki Terengganu (THT) tetap utuh dan bersedia untuk terus menyarung jersi negeri itu dalam kancah Liga Hoki Malaysia penghujung tahun ini.

“Banyak yang saya dapat daripada Terengganu dan saya rasa sukar untuk meninggalkan pasukan ini. Saya akan terus bermain untuk Terengganu buat masa ini,” tambahnya lagi.

Faizal turut meluahkan kebimbangannya mengenai ketiadaan pengganti yang mampu mengisi posisinya bersama Speedy Tigers dan berpendapat adalah penting untuk mencari pengganti sebelum dia benar-benar meninggalkan arena hoki.

“Saya tak boleh tinggalkan pasukan begitu sahaja. Tiada lagi pengganti yang benar-benar sesuai untuk mengambil alih tempat saya, lagipun adik saya (Fitri Saari) masih bersama skuad. Saya tak sanggup biarkan dia bersendirian menghadapi cabaran ini,” jelasnya.

Keputusan akhir mengenai masa depan Faizal dijangka diumumkan tidak lama lagi selepas perbincangan lanjut bersama ketua jurulatih, Sarjit Singh dengan pilihan yang akan dibuat sememangnya bakal memberikan impak besar buat Speedy Tigers.

Sebagai rekod, Faizal pernah menyuarakan hasrat untuk bersara awal tahun ini tetapi kembali beraksi bersama skuad kebangsaan kerana mahu terus menabur bakti disebabkan hubungan baiknya dengan Sarjit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI