fbpx

Agong, Permaisuri diberi sambutan rasmi negara di Istana Nurul Iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah ketika disambut Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah diberikan sambutan rasmi negara di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan hari ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di istana itu disambut Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Kata hantaran itu, Istiadat Sambutan Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’ yang dipersembahkan oleh Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan diikuti lagu kebangsaan Brunei ‘Allah Peliharakan Sultan’.

“Sebanyak 21 das tembakan meriam turut dilepaskan bersempena Istiadat Sambutan Negara.

“Yang di-Pertuan Agong dengan diiringi Sultan Brunei berkenan memeriksa Barisan Kawalan Kehormat Tentera Diraja Brunei pada Istiadat Sambutan Negara bersempena lawatan negara bermula semalam selama tiga hari,” tulisnya.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda berdua turut diperkenalkan dengan ahli-ahli Kerabat Diraja Brunei dan menteri-menteri Kabinet Brunei oleh Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.

“Selepas Istiadat Sambutan Negara, Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah kemudian berkenan berangkat ke Kunjungan Mengadap KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.

“Berangkat sama, mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.

Turut berangkat, Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman,”kata hantaran itu.

Selepas selesai majlis Kunjungan Mengadap, Seri Paduka Baginda berdua kemudian diiring ke Cheradi Ratna Kenchana bagi persembahan cenderahati dan bertukar cenderahati bersama Sultan Brunei dan isteri.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI