TAIPEI – China mengerahkan sejumlah pesawat dan kapal perang untuk mengepung Taiwan dalam latihan tentera yang dikatakan Beijing bertujuan untuk menghantar ‘amaran keras’ kepada kumpulan ‘pemisah’ di Taipei.
Beijing tidak menolak menggunakan kekerasan untuk menawan semula Taiwan, manakala latihan tentera semalam mewakili pusingan keempat eksesais perang berskala besar Beijing sejak dua tahun lalu.
Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa tindakan China itu ‘tidak wajar’ dan berisiko ‘mencetuskan konflik’ serta menggesa Beijing untuk melaksanakan kawalan kendiri.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te yang mengambil alih kuasa pada Mei lalu, didapati lebih lantang daripada pendahulunya Tsai Ing-wen dalam mempertahankan kedaulatan Taiwan. Beliau mencetuskan kemarahan Beijing yang menggelarnya sebagai pemisah.
Taiwan mengecam latihan terbaharu itu sebagai ‘tidak rasional dan provokatif’ dan berkata, Taipei telah menghantar ‘tentera yang sesuai’ sebagai tindak balas.
Beijing berkata bahawa latihan tentera itu adalah amaran keras kepada tindakan pemisah yang digelar sebagai pasukan ‘Kemerdekaan Taiwan'”.
“Latihan tentera dinamakan Joint Sword-2024B ini menguji keupayaan operasi bersama pusat perintah,” kata jurucakap Komander Teater Timur tentera China, Kapten Li Xi
Menurutnya, eksesais itu diadakan di kawasan utara, selatan dan timur Pulau Taiwan.
Pengawal pantai China juga dihantar untuk melakukan ‘pemeriksaan’ di sekitar pulau Taiwan.
Pertikaian semasa antara China dan Taiwan bermula sejak perang saudara di mana pasukan nasionalis pimpinan Chiang Kai-shek dikalahkan oleh pejuang komunis, Mao Zedong sehingga terpaksa melarikan diri ke Taiwan pada tahun 1949. – AFP