BAGAN SERAI – Bagi sebuah keluarga, banjir sudah seakan-akan menjadi satu ‘acara’ yang wajib dihadapi mereka.
Manakan tidak, setiap kali banjir keluarga berkenaan harus mencari perlindungan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan tempat tinggal mereka.
Menurut Abdullah Tahir, 75, keluarga telah berpuluh tahun menjadi penghuni PPS ketika musim banjir namun tiada apa yang boleh dilakukan mereka sekeluarga.
“Puluhan tahun kami sekeluarga akan menjadi penghuni di PPS yang dibuka. Kadang-kadang timbul juga rasa jemu tetapi apa boleh buat.
“Tempat tinggal kami berada di kawasan tanah rendah, jadi tiada apa boleh dilakukan. Terpaksalah tanggung risiko itu,” katanya kepada Kosmo! di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di sini.
Menurut warga emas tersebut, mereka masih menanti tindakan konkrit oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Matang Tengah.
“Sehingga sekarang, kami semua memang tak pernah dengar jika ada apa-apa rancangan jangka masa panjang dari mana-mana pihak dalam menyelesaikan isu banjir di kampung ini.
“Kami tak menuding jari ke mana-mana pihak dalam isu ini tetapi perlulah pihak berwajib lakukan sesuatu (bagi mengatasi isu banjir),” katanya.
Abdullah berkata, pada tahun ini sahaja dia dan keluarganya sudah dua kali berpindah ke PPS SK Changkat Lobak ekoran banjir dengan kali pertama adalah pada September lalu. – KOSMO! ONLINE