KUALA LUMPUR – Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan permohonan Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan eksekutif (backbencher) supaya mereka diberi lebih banyak soalan jawab lisan untuk dikemukakan menimbulkan perdebatan dalam kalangan Ahli Parlimen.
Keputusan Johari tersebut mendapat bantahan kuat Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang Dewan Rakyat hari ini., manakala Ahli Parlimen kerajaan menyokong keputusan itu.
“Kata nak jadikan kita (pembangkang) `check and balance’. Sepatutnya soalan-soalan banyak daripada pembangkang. Sepatutnya soalan-soalan Parlimen beri lebih kepada pembangkang baru tanya pada kerajaan. `Backbencher’ tak payahlah tanya kerajaan anda sendiri,” kata Takiyuddin.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula berkata, pendekatan satu soalan daripada Ahli Parlimen kerajaan dan satu soalan daripada Ahli Parlimen pembangkang telah diamalkan sejak Parlimen ke-12 yang ketika itu pembangkang memiliki 82 kerusi.
“Matlamat dan tujuannya untuk `check and balance’. Perkara yang baik ini tidak sepatutnya diubah,” katanya.
Beberapa Ahli Parlimen `backbencher’ bagaimanapun cuba mempertahankan keputusan tersebut termasuk Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dengan mendakwa ksuara `backbencher’ jarang didengari pada sidang Dewan Rakyat.
“Sebagai `backbencher’ selalunya suara kami tidak didengar kerana pihak kerajaan (Ahli Parlimen kerajaan) ramai dan ini satu keadilan kepada `backbencher’.
“Soalan pembangkang tetap didengar dan semua yang ditanya di jawab kerajaan. Keadilan diberi kepada semua. Walaupun saya `senior’ tiga penggal kadangkala soalan tak naik,” katanya.
Terdahulu, Johari memaklumkan, beliau menerima permohonan untuk meningkatkan jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dipihak `backbencher’ iaitu enam pertanyaan dalam kedudukan 10 teratas aturan pertanyaan dengan alasan bilangan ahli `backbencher’ tidak melebihi bilangan pembangkang.
“Kini terdapat 93 ahli `backbencher’ dan 75 ahli pembangkang di Dewan Rakyat. Peraturan-peraturan majlis mesyuarat tidak menetapkan syarat mengenai susunan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.
“Oleh itu mulai mesyuarat ketiga ini saya benarkan agar lebih pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan bagi pihak `backbencher’ dalam kedudukan 10 teratas aturan pertanyaan.
“Keputusan ini bukan untuk menghadkan suara mana-mana pihak. Saya tidak `rigid’ dalam penetapan ini dan akan mengkaji susunan ini dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE