fbpx

‘Sebab mak dia belikan’ – Adam Lee pertahan budak pakai kasut tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Lee

PETALING JAYA – Pelakon Adam Lee menempelak tindakan individu yang didakwa membuli seorang kanak-kanak lelaki dalam media sosial hanya kerana memakai kasut sukan jenama tiruan.

Tegas Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 29, perbuatannya yang mengecam kanak-kanak terbabit mencerminkan tindakan kurang bijak.

Malah, sebagai anak tentu sahaja kanak-kanak berkenaan berasa bangga menerima hadiah pemberian daripada ibu tercinta sempena ulang tahun kelahiran tanpa mengira sama ada barangan tersebut mahal atau murah.

“Pastilah dia bangga sebab mak dia yang belikan. Jadi kalian semua jangan menjadi manusia yang kurang cerdik. Biarlah kerana itu saja yang dia mampu.

“Kalau kasut itu jenama LV (Louis Vuitton), Versace, Prada tidak kena kecam. Tetapi, disebabkan kasui itu tiruan, kalian semua kena kecam dia,” katanya dalam satu video di TikTok.

Pada masa sama, Adam turut mengakui merindukan era kegemilangan surat khabar yang mana menjadi sumber utama masyarakat untuk mendapatkan maklumat berbanding media sosial.

“Sejujurnya saya rindukan zaman surat khabar berbanding media sosial kerana terlalu banyak aib dibuka, yang orang tunjuk dan fitnah yang dilakukan.

“Alhamdulillah saya dulu masuk industri zaman surat khabar baru tukar ke zaman media sosial. Biarpun akhbar sekarang masih ada lagi, tetapi media sosial sekarang nombor satu.

Pelakon drama Bukan Lelaki Terhebat itu bagaimanapun menegaskan dia perlu menggunakan media sosial sebagai medium digital masa kini untuk berinteraksi dengan peminat.

“Tetapi, sebagai pelakon dan pempengaruh saya perlu menggunakan media sosial kerana itu memang kerja saya,” katanya.

Sebelum ini seorang kanak-kanak dikenali sebagai Arman memuat naik video kasut baharunya dengan penuh teruja ke TikTok.

Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama apabila ada netizen mengkritik kasut tersebut dan mengatakan hadiah tersebut produk tiruan selain memintanya mendedahkan harga sebenar.

Setelah didesak Arman kemudian mendedahkan hal sebenar manakala ibunya juga mengakui membeli kasut itu pada harga RM80 termasuk bayaran pos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI