fbpx

Kepada suami, hargailah pengorbanan isteri – Uqasha Senrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Memahami cabaran dan penggorbanan wanita menguruskan keluarga, pelakon Uqasha Senrose meminta para suami untuk menghargai penat lelah isteri melahirkan dan mengasuh anak-anak.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, berkata, suami perlu menghargai isteri yang menguruskan anak sendirian tanpa pertolongan pembantu sebagai satu pengorbanan besar.

“Kepada semua suami-suami, hargailah isteri anda. Besar pengorbanan isteri yang membesarkan anak tanpa pertolongan sesiapa. Yang tidak cukup tidur, yang basuh baju anak, lipat baju anak susun baju anak. Basuh botol susu, buat susu.

“Tidur sampai hendak patah pinggang, nak makan pun hanya untuk alas perut. Nak masuk tandas pun kena pegang anak, kalau letak anak menangis. Hendak mandi pun tak sempat, takut anak menangis.

“Bagi yang ada pembantu, alhamdulillah, bagi yang mengasuh sendiri ingatlah bahawa sangat besar pahalanya,” tulis  Uqasha dalam Instagram.

Uqasha juga sebak mengenangkan sudah enam bulan membesarkan anaknya, Hawra Uqaira , satu tempoh yang dirasakan begitu pantas.

Malah, pelakon filem Hantu Kak Limah itu turut mendoakan semoga puteri sulungnya berada dalam keadaan baik dan dirahmati Tuhan.

“Tiba-tiba rasa sebak sangat. Tak sangka Qasha (nama panggilan Uqasha) sudah melalui tempoh mengandung sembilan bulan. Rasa apa itu sakit melahirkan. berpantang. membesarkan anak sampai sudah hendak masuk enam bulan.

“Belajar macam-macam untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik untuk anak. Ya Allah lindungi anakku. Jagalah di setiap langkah kakinya, di setiap detak jantungnya dan di setap hembusan nafasnya.

“Ya Allah panjangkanlah umur anakku, terangilah hatinya, teguhlah imannya, cerdaskan akalnya, baikkan amal perbuatannya, lapangkan rezekinya, dekatkan dia dengan kebaikan dan jauhkanlah dari segala keburukan,” ujar Uqasha.

Perkongsian isteri kepada pelakon Kamal Adli itu kemudian mendapat perhatian beberapa rakan artis dan peminat.

Rata-rata mereka mendoakan semoga Uqasha kuat semangat dan kekal positif dengan cabaran yang mendatang.

“Peluk untuk Uqasha dan Uqaira. Semoga ibunya terus kuat dan tabah. Begitu juga dengan sang anak yang berada dalam keadaan baik.

“Bila cakap macam ini, cepat betul rasanya. Sekarang sudah masuk enam bulan, nanti akan masuk setahun.

“Semoga Uqasha menjadi seorang ibu yang misali,” komen netizen.

Sama ada benar atau sebaliknya, rumah tangga Uqasha dan Kamal kini turut berdepan khabar angin kononnya sedang berantakan.

Menafikan dakwaan tersebut, Uqasha bagaimanapun reda apabila kehidupan rumah tangganya difitnah.

Menjernihkan keadaan, beberapa hari lalu, Kamal turut mengakui, rumah tangga mana yang tidak berdepan salah faham.

Rajuk dan bergaduh itu biasa kata Kamal. Sebagai pemimpin dalam keluarganya, dia hanya tergelak apabila ada pihak cuba menyebarkam fitnah tentang rumah tangganya.

Uqasha dan Kamal diijabkabulkan pada 5 November 2021 selepas dua tahun bercinta.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI