fbpx

Letih tiga kali pindah akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH Hussin berpindah ke PPS SK Limau Kasturi 2 buat kali ketiga selepas rumahnya ditenggelami banjir.

GUA MUSANG – Seorang warga emas mengadu bahawa dia letih apabila rumahnya di Kampung Limau Kasturi di sini dinaiki air sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali pada musim tengkujuh kali ini

Aishah Hussin, 82, berkata, sebelum ini, dia telah berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2 pada pertengahan Disember dan Isnin lalu.

Katanya, susulan banjir yang kembali berlaku, dia telah berpindah buat kali ketiga ke PPS yang sama setelah rumahnya dinaiki air sehingga ke paras dada semalam.

Ujarnya, dia sudah berdepan pengalaman banjir 55 kali sepanjang hidupnya mengakui penat apabila terpaksa berpindah apabila air sungai kerap melimpahi ke kawasan rumahnya sejak kebelakangan ini.

“Penat banjir yang sebelum ini pun tidak hilang lagi. Kira-kira pukul 10 pagi semalam, kami terpaksa berpindah lagi kerana air naik dengan cepat setelah hujan lebat berpanjangan.

“Mujur ada anak dan menantu yang menolong membersihkan rumah. Kalau saya buat seorang, memang tidak mampu. Kini, air banjir makin surut, namun anak saya tetap menyuruh untuk tinggal di PPS ini dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Limau Kasturi di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan tujuh PPS masih dibuka di daerah Gua Musang pagi ini.

Bagi Kampung Limau Kasturi, seramai 25 keluarga membabitkan 142 mangsa masih menghuni PPS SK Limau Kasturi 2.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI