fbpx

Khai Xing-Aaron Tai tamat kemarau 13 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU badminton muda lelaki negara, Kang Khai Xing- Aaron Tai mencipta sejarah merangkul gelaran dunia pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, sebentar tadi. -Foto: BAM

KUALA LUMPUR – Beregu badminton muda lelaki negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai mencipta sejarah apabila berjaya menamatkan kemarau 13 tahun dengan merangkul gelaran dunia pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, sebentar tadi.

Gandingan berbakat negara itu mempamerkan aksi luar biasa terutama mengatasi tekanan sebelum menundukkan wakil tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dalam tiga set perlawanan sengit 21-18, 15-21, 21-18 dalam tempoh 65 minit di Pusat Sukan Nanchang, China.

Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan penantian skuad remaja negara dalam acara beregu lelaki memandangkan kali terakhir Malaysia meraih gelaran dunia bagi acara tersebut menerusi Nelson Heg-Teo Ee Yi pada tahun 2011.

AARON (kiri) dan Khai Xing cemerlang pada Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China.

“Kemenangan ini cukup menggembirakan dan saya hanya nak balik Malaysia, nak makan sepuas-puasnya dan jumpa keluarga. Saya benar-benar rasa gembira dengan kemenangan yang kami capai pada hari ini dan akhirnya impian kami untuk mencipta gelaran di sini menjadi kenyataan.

“Pada perlawanan tersebut, secara keseluruhan permainan kami tidak berada baik terutama pada set kedua tetapi kami berjaya mengatasi masalah tersebut sebelum menang pada set ketiga,” kata gandingan tersebut kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebentar tadi.

Sementara itu, impian untuk melihat Malaysia membawa pulang dua gelaran dari Nanchang tidak kesampaian selepas beregu wanita negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi tewas kepada juara bertahan dari Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki.

Gandingan muda negara itu terpaksa akur dengan pengalaman pasangan Jepun, yang menang 21-17, 21-17. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI