BALING – Perasaan bimbang seorang penduduk berkemungkinan berlaku lagi kepala air yang lebih serius menjadi kenyataan apabila sebahagian struktur rumah roboh dihanyutkan arus deras, malam tadi.
Mohd. Naim Asri Baharom, 46, berkata, sejak beberapa hari lalu dia sudah tidak sedap hati apatah lagi bila berlakunya hujan lebat pada petang semalam.
“Saya berada di rumah jiran ketika itu, hujan lebat mula pukul 5 petang semalam disertai angin kencang. Dalam keadaan gelap, saya nampak sebahagian hadapan rumah sudah roboh. Sekitar pukul 9 malam apabila air kembali surut, saya kembali ke rumah dan melihat keadaannya rosak teruk serta kesemua barangan telah hanyut.
“Sebuah jambatan kayu yang dibina orang kampung bagi menggantikan jambatan besi yang runtuh turut berada di dalam rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Naim berkata, dia baru sahaja membaik pulih rumah pusaka yang sudah berusia kira-kira 40 tahun itu, namun tergendala selepas dilanda banjir pertama pada 30 September lalu.
“Tetapi kini semuanya telah hilang dan musnah selepas dilanda banjir kali ketiga, saya rasa sangat sedih tetapi terpaksa bersabar mungkin perlu mencari tempat baharu yang lebih selamat dan bebas banjir untuk bina rumah,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Batu Lapan, mukim Siong, Samsudin Nawang, 60, terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah yang turut merobohkan struktur dapur dan bilik air kediamannya.
Menurutnya, pokok durian yang menjadi benteng di belakang dapur rumah turut tumbang menyebabkan air sungai lebih mudah menerjah tebing. – KOSMO! ONLINE