fbpx

Isu syeikhana: JHEAIK tegur Syeikh Muhd. Zainul Asri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perjumpaan antara pihak JHEAIK dan Syeikh Muhd. Zainul Asri (dua dari kanan) di Pejabat JHEAIK di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) hari ini memberi teguran kepada pendakwah tersohor negeri ini, Syeikh Muhd. Zainul Asri Romli berikutan penularan sebuah video di media sosial yang didakwa memujanya secara keterlaluan.

Pengarahnya, Datuk Abd. Ghani Zainudin berkata, teguran itu diberikan dalam satu perjumpaan pihaknya bersama pendakwah terbabit di pejabat JHEAIK, di sini hari ini.

Menurut beliau, pendakwah itu turut mengakui kesilapan yang berlaku dan sedia menerima teguran, selain bersedia untuk menerima tindakan susulan daripada JHEAIK.

“JHEAIK memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat.

“Ketaksuban melampau sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd. Ghani menambah, pihaknya turut mengarahkan Syeikh Muhd. Zainul Asri agar menyampaikan teguran dan nasihat itu kepada pelajar dan pengikutnya.

Beliau menambah, pendakwah berkenaan turut memberi penjelasan bahwa video tersebut dirakam pada 2020, namun ditularkan baru-baru ini.

“Menurut beliau, perkara tersebut berlaku secara spontan bukan atas kehendak dirinya. Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan sekadar meraikan hasrat pelajar bertujuan meraikan sambutan hari lahir beliau.

“JHEAIK berharap semua pihak di negeri ini berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI