fbpx

Projek usahawan sekolah bakal hiasi Karnival UDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Jafni (tengah) bersama Mohd. Annuar (kiri) dan Mohd. Salem Kailany pada majlis pelancaran Karnival UDA@ Johor di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru kelmarin. – Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) berhasrat untuk menjemput lebih banyak penyertaan pelajar sekolah dalam Karnival UDA pada masa akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, ini kerana pihaknya tertarik dengan idea dan kreativiti yang ditonjolkan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2 di sini dan mahu menonjolkan bakat unik mereka kepada masyarakat selain mendidik pelajar mengenai bidang keusahawanan.

Tambah beliau, untuk projek tersebut, pelajar sekolah rendah dan guru pengiring telah mempamerkan idea menukarkan sisa makanan kantin mereka menjadi baja kompos dan seterusnya dijadikan sumber pendapatan sekolah.

“Saya akan menjadikan dasar UDA selepas ini untuk menjemput Jabatan Pendidikan Negeri men­yertai perancangan Karnival UDA untuk menggalakkan sekolah-sekolah memperkenalkan program usahawan.

“Saya akan beri ruang, sekolah ini tidak perlu bayar sewa, UDA akan tanggung untuk mereka datang pamer produk mereka ini, sekali gus kita menggalakkan daya usahawan pelajar dan ini satu program CSR
(tanggungjawab sosial korporat) UDA yang akan diperkenalkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival UDA @ Johor di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan ne­geri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Turut hadir Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany.

Terdahulu, Karnival UDA @ Johor yang berlangsung tiga hari sehingga semalam (Ahad) menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM92.5 juta merangkumi jualan hartanah bernilai RM90 juta dan jualan produk usahawan berjumlah RM2.5 juta.

Seramai 160 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut serta dalam karnival yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu dan dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 180,000 pengunjung.

Johor yang menjadi lokasi ketiga penganjuran karnival itu tahun ini menjadi lokasi tumpuan kerana mendapat sambutan dan sokongan warga selatan, khususnya di wilayah pembangunan UDA.

Sebanyak tujuh zon ditampilkan pada karnival kali ini termasuk
Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma selain kolaborasi dengan pelbagai agensi seperti Perbada­nan Usahawan Johor, Pertubuhan Peladangan Negeri Johor, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor serta Majlis Agama Islam Negeri
Johor.

Karnival itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti Fiesta Bakat oleh Majlis Sukan Negara (MSN), ‘Jom Mewarna Bintang Kecil bersama Didi & Friends’, sukan rakyat kanak-kanak tadika, pertunjukan api, Jualan MADANI Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta persembahan artis seperti Haziq Rosebi dan HyperAct.

Selain itu, UDA turut menyantuni komuniti memerlukan dengan menyalurkan zakat wakalah kepada 10 usahawan asnaf berjumlah RM30,000 dan RM50,000, zakat wakalah melalui Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime Sempena Program UDA Cares yang memanfaatkan seramai 500 pelajar asnaf di Johor. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI