HULU TERENGGANU – Tiga beranak termasuk seorang wanita warga emas terkandas hampir tiga jam di kawasan sawah padi berikutan arus deras Sungai Telemong berhampiran Kampung Matang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Minah Dollah,70, bersama dua anaknya, Rohani Mamat,54, dan Mat Zaid,47, yang baru selesai menabur benih padi tidak dapat pulang pulang menyeberang Sungai Telemong di sini dengan bot fiber kerana arus deras.
Mereka hanya diselamatkan anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 9.30 malam.
Mat Zaid berkata, sebelum kejadian, dia, kakak dan ibunya pergi menabur benih padi di sawah milik mereka pada pukul 2 petang.
“Sewaktu hendak pulang pada pukul 6.30 petang, kami dapati paras air Sungai Telemong semakin tinggi.
“Pada mulanya kami cuba menyeberang sungai juga dengan bot fiber tetapi ambil keputusan untuk berpatah balik kerana risikonya amat tinggi. Lagi pun ibu (Minah) tidak pandai berenang,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini
Mat Zaid berkata, ibunya kemudian menghubungi adiknya yang berada di Kuala Lumpur bagi meminta agar kejadian mereka terkandas dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ujarnya, sementara menunggu bantuan tiba, mereka tiga beranak berteduh sementara di bangunan stor yang terdapat di kawasan sawahnya sambil memakan lebihan bekalan bagi alas perut. – K! ONLINE