fbpx

Zaitun susun strategi mahu kuasai semula pasaran tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Promosi produk iklan Zaitun di media sosial berjaya mengukuhkan jenamanya dalam kalangan masyarakat.

Zaitun Industry Berhad ketika era kejayaannya tahun 1970an dan 1980an telah menguasai pasaran dengan pelbagai gimik menarik termasuk lagu iklan popular Zaitun yang berkumandang di media elektronik selain poster, papan iklan di seluruh negara sehingga membolehkan ia mencatat jualan puluhan juta ringgit setiap bulan.

Malah penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada tahun 1997 meletakkan ia sebagai syarikat tempatan yang berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya halal diamalkan untuk produk penjagaan dan kebersihan diri selain makanan dan minuman halal semata-mata.

Bagaimanapun pelbagai faktor dalaman termasuk krisis kegawatan ekonomi di rantau Asia menyebabkan syarikat yang diasaskan oleh Datuk Seri Mohd Kamal Teh pada tahun 1978 terpaksa di tutup pada tahun 2003.

Kini di bawah idea dan pemikiran usahawan muda, anak keempat daripada enam beradik keluarga Teh, Mohd. Nizam Teh menggalas tugas berat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengembalikan jenama Zaitun di bawah syarikat Zaitun Beauty Industry Sdn. Bhd. (Zaitun) untuk menguasai pasaran tempatan sejak dua tahun lalu secara berperingkat. Lebih menarik lagi, ia kini berjaya menembusi pasaran negara jiran di Singapura dan Brunei.

“Kami mahu mengambil semula pasaran yang dikuasai sebelum ini (market share) iaitu sebelum Zaitun tutup operasi, pada peringkat awal kami mahu kuasai sehingga 20 peratus.

“Kami akan lebih aktif mempromosikan jenama dan produk, kami akan buat lebih banyak pameran jualan tahun depan dan menggunakan ruang sepenuhnya memasarkan produk kami di media sosial, kami kini habiskan masa sehingga 20 jam di TikTok live untuk mencapai misi tersebut,” katanya ketika ditemu bual secara online baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perancangan syarikat untuk kembali membawa kege­milangan nama Zaitun di pasaran?
Nizam: Jenama Zaitun memang terkenal pada tahun 1970an dan 1980an. Promosi jualan mudah dilaksanakan me­lalui pelbagai platform se­perti iklan lagu, poster, iklan promosi yang terpampang di badan bas, papan iklan gergasi sehingga jenamanya sinonim dengan sesebuah keluarga.

Masyarakat masa kini mungkin mengenali Zaitun daripada cerita datuk, nenek dan mak mereka. Untuk kami kembali ke pasaran semula, sememangnya satu cabaran juga khususnya bersaing dengan jenama popular dan antarabangsa.

Kami per­kenalkan produk baharu dan bukan menggunakan produk lama. Tetapi kami gunakan semua peluang yang ada untuk memasarkan produk secara agresif di sosial media. Selain itu, kami juga mendapat kerjasama yang baik daripada pasar raya besar dan mereka menyatakan ini adalah masa terbaik untuk Zaitun kembali di pasaran.

Kami juga telah membuat pelbagai tinjauan untuk mendapatkan maklum balas pelanggan. Kami bercadang untuk melancarkannya pada tahun 2019 tetapi terpaksa ditangguhkan dulu kerana pandemik sehingga selesai fasa pe­rintah kawalan pergerakan.

Ketika itu, kami menyusun strategi untuk membuat promosi dan pemasaran tentang jenama Zaitun secara agresif dan seterusnya pada tahun 2022, kami memulakan usa­ha untuk melancarkan produk gigi terbaharu Zaitun.

Kenapa pilih ubat gigi dan apakah produk baharu yang akan dilancarkan selepas ini?
Ketika zaman kegemilangan jenama Zaitun, selain sabun mandi dalam bentuk buku dan juga talkum, ubat gigi adalah antara produk yang sangat popular.

Memandangkan sabun mandi dan juga talkum kurang mendapat sambutan dalam trend semasa, kami memilih ubat gigi kerana ia adalah antara penyumbang jualan tertinggi.

Kini terdapat lapan jenis ubat gigi yang memiliki kelebihannya tersendiri dan ia dijual pada harga antara RM8 hingga RM13.

Harga produk kami lebih rendah daripada jenama popular dan antarabangsa, tetapi ia berkualiti tinggi serta mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pelanggan.

Pada tahun ini, kami mungkin akan keluarkan lima produk lagi yang mana antaranya adalah berus gigi dan juga set kembara yang digabungkan ubat gigi dan berus gigi dalam satu beg kantung mini.

Pada tahun depan kami akan lancarkan mandian badan dan syampu menjelang suku kedua tahun depan.

Apa perancangan seterus­nya untuk syarikat?
Sebelum syarikat tutup operasi pada tahun 2003, Zaitun memiliki lebih 200 produk iaitu daripada segmen penjagaan badan dari kepala sehingga kaki, lengkap sepenuhnya dan ia memiliki sijil halal.

Kami juga popular dengan produk kebersihan rumah se­perti sabun basuh, sabun pencuci pinggan serta kami juga menawarkan air mi­neral serta sos cili.

Oleh itu, untuk pelan jangka panjang saya membariskan produk yang sama iaitu lebih 200 produk akan dikeluarkan secara berpe­ringkat.

Kami perlu mengambil masa sedikit sebelum melancarkan sesuatu produk kerana kami sangat fokus tentang aspek kajian kajian dan pembangunan (R&D) yang mana kualitinya sama seperti yang kami terapkan dalam pengeluaran produk sebelum Zaitun tutup operasi.

Selain itu, proses untuk mendapatkan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu mengambil masa.

Selain itu, ketika ini, kilang kami yang terletak di Kota Damansara dan ibu pejabat di Selayang bakal dipindahkan di bawah satu bangunan di Kepong yang menempatkan ibu pejabat dan juga kilang. Kami juga akan membuat pelaburan baharu untuk menambah kapasiti pengeluaran produk yang semakin
bertambah.

Siapa yang bantu Nizam dalam perniagaan ini?
Saya kini memegang jawatan CEO bermula tahun 2022. Sebelum itu, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat lain kerana saya mahu belajar pelbagai perkara daripada peringkat bawah tanpa pangkat dan kuasa.

Saya ambil peluang dalam tempoh tersebut untuk melakukan pelbagai strategi, perancangan pemasaran, kaedah dan konsep pemasaran.

Kemudian saya kembali ke Zaitun dan belajar daripada bapa saya, dia sangat mahir dan berpengalaman dalam bidang ini lebih daripada 40 tahun.

Sebaik memegang jawatan tertinggi itu, ayah saya tetap menjadi orang penting dalam syarikat sebagai Presiden Kumpulan.

Kami sentiasa berbincang di pejabat dan juga di rumah untuk melaksanakan setiap strategi operasi syarikat. Kini saya adalah face of zaitun dan saya kendalikan segala operasinya dari A sampai Z.

Adakah berat tanggungjawab tersebut?
Semangat saya berkobar-ko­bar tetapi ikhlas untuk menjadikan Zaitun lebih sukses.

Ya, ini memang satu tanggungjawab yang besar tetapi saya gembira dan suka mengambil tugasan baharu ini.

Ini adalah legasi keluarga dan masyarakat kenal ke­luarga Teh kerana jenama Zaitun.

Jadi saya mahu menjadi seorang anak yang berjaya mengangkat nama Zaitun pada peringkat yang lebih baik sekarang dan juga akan datang, turun naik perniagaan ini, akan saya galas sebaiknya.

Ayah saya selalu cakap, ini adalah proses pem­belajaran dan dia akan sentiasa berada di belakang untuk membantu. Saya akan berusaha dan memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan. Ini adalah perniagaan keluarga dan saya mahu mereka bangga de­ngan kejayaan saya nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI