fbpx

239 pelajar anak ATM sertai Program ‘Road to Success’ SPM 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program Road to Success SPM 2024 disokong oleh sumbangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk memastikan para pelajar mendapat bimbingan dan sokongan pendidikan berkualiti.

PETALING JAYA – Seramai 239 pelajar tingkatan empat yang terdiri daripada anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersekolah di dua buah Sekolah Dalam Kem (SDK) menerima manfaat Program Road to Success SPM 2024.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Jabatan Arah Pendidikan (JAP) dan ATM.

Menerusi satu kenyataan, YLTAT berkata, dua buah sekolah SDK yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, Melaka dan SMK Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Perlaksanaan program ini disokong oleh sumbangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM28,550 yang bertujuan untuk memastikan pelajar-pelajar ini mendapat bimbingan dan sokongan pendidikan berkualiti.

“Program ini mencerminkan komitmen YLTAT bersama PTPTN dalam memberikan bimbingan dan sokongan kepada anak-anak warga ATM sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2025,” katanya.

Majlis perasmian Program Road to Success SPM 2024 telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yang berlangsung di SMK Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.

Turut hadir, Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin; Pengarah Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia Markas Angkatan Tentera Malaysia, Kol. Mohd Sharif Ishak dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Laksamana Pertama Ts. Shaiful Bahri Baharuddin.

Program tersebut dijadualkan berlangsung bermula Julai hingga Disember 2024 dengan memberi fokus kepada dua komponen utama iaitu Kelas Bimbingan dan Program Motivasi Bersama Pelajar dan Ibu Bapa.

“Program Road to Success SPM 2024 diharap dapat membantu para pelajar bukan sahaja dalam pencapaian akademik, tetapi turut menyediakan mereka dari segi mental dan motivasi untuk masa hadapan.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif PTPTN dan Yayasan LTAT untuk memartabatkan pendidikan anak-anak warga ATM dan memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dunia akademik serta kerjaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI