KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan berkaitan isu 32 peniaga di Kea Farm, Cameron Highlands.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ia bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.
Baginda menegaskan bahawa, isu berkenaan turut berada dalam perhatian dan semua maklumat berkaitan telah sampai ke pengetahuan baginda.
Baginda bertitah telah mendapat laporan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri berkenaan permasalahan tersebut.
Baginda turut menzahirkan perasaan berpuas hati dengan laporan yang telah dipersembahkan kepada Baginda.
Semalam Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap Mohd. Sophian Mohd. Zain yang terkenal dengan panggilan Ustaz Sophian berikutan dakwaannya yang menyatakan bahawa peniaga di Medan Agro Kea Farm, Cameron Highlands terancam. – KOSMO! ONLINE