PETALING JAYA – Pelakon Fattah Amin menerima reaksi fenomena apabila berjaya meraih sokongan padu peminat selepas bergelar duda sehingga video siaran langsung dalam aplikasi TikTok mendapat lebih 50,000 tontonan dan lebih 26 juta tanda suka.
Menerusi siaran langsung pertamanya, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkongsi keadaan terkininya yang berada dalam keadaan baik dan berterima kasih kepada peminat kerana memberi sokongan saat berdepan dengan fasa perceraian.
Malah, Fattah meminta agar peminat tidak bersikap berpuak-puak sehingga mewujudkan dua kumpulan yang menzahirkan sokongan antara dirinya dengan Fazura.
“Kalau boleh saya minta jangan ada team (kumpulan). Tidak perlu sampai hendak berkumpulan. Kita doakan yang baik-baik saja. Apa yang berlaku itu tidak pernah dijangka. Kita kena reda dan sabar.
“Insya-Allah saya dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Terima kasih kerana doakan untuk saya. Saya juga mendoakan semoga kalian dimurahkan rezeki. Saya sebenarnya sangat terharu dengan sokongan semua, saya tidak sangka benda-benda yang terjadi ini, saya tidak sangka.
“Saya tidak pernah terbayangkan akan mendapat sokongan begitu hebat daripada anda semua. Segala apa yang terjadi itu, alhamdulillah rezeki saya semakin murah dan ini semua atas doa orang ibu ayah saya,” katanya.
Apa yang dilalui Fattah menerusi siaran langsung TikTok sebenarnya pernah disaksikan khalayak dalam kes usahawan popular, Datuk Red selepas melalui episod perceraian dengan penyanyi Adira pada April dan isteri pertama Datin Red, Mei lalu.
Pada masa sama, Fattah turut memaklumkan bakal menjalani sesi penggambaran pada November depan termasuk akan muncul dengan single terbaharu.
“Bulan depan saya akan kembali sibuk untuk menjalani penggambaran. Alhamdulillah kerjaya seni saya berjalan seperti biasa.
“Saya juga akan lancarkan lagu baru. Jika berkesempatan lagu itu saya akan menyanyikan dalam majlis bertemu dengan peminat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fattah akan melancarkan beberapa rangkaian produk di bahawa jenama miliknya tidak lama lain.
“Insya-Allah selepas ini saya akan buat siaran langsung lagi kerana akan melancarkan produk dan menjualkan di aplikasi ini,” katanya.
Sebelum ini Fattah menjadi tumpuan apabila Fazura memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Jaya pada 13 September iaitu sehari sebelum sambutan ulang tahun kelahirannya.
Fattah dan Fazura kemudian sah bercerai talak satu di mahkamah sama selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Untuk rekod mereka mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya, 4. – KOSMO! ONLINE