DUNGUN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala rakan pemboncengnya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah motosikal lain di
Jalan Dungun-Seberang Pintasan, berhampiran Jambatan Seberang Pintasan di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Muhammad Fakhrul Izad Mohd Shukri, 18 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, rakan pembonceng mangsa, Muhammad Al Afiq Haikal Muhammad Al Bakri, 17, pula cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, mereka yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan ke Kampung Seberang Pintasan dari pusat bandar Dungun di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Muhammad Fakhrul Izad gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang sebuah motosikal lain jenis Yamaha Ego Solariz di hadapannya.
“Rempuhan itu menyebabkan Muhammad Fakhrul Izad dan Muhammad Al Afiq Haikal mengalami kecederaan parah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, penunggang dan pembonceng motosikal Yahama Ego Solariz pula cuma cedera ringan. – K! ONLINE