KUALA LUMPUR – Hari penuh bermakna buat skuad badminton remaja negara apabila beregu lelaki, Aaron Tai-Kang Khai Xing dan beregu wanita, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi mara ke perlawanan akhir kategori individu pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Nanchang, China hari ini, Aaron-Khai Xing dipaksa bermandi peluh sebelum menang 21-18, 10-21, 21-15 ke atas beregu China, Chen Yong Rui-Chen Zhe Han.
Ia membawa makna cukup besar buat pasangan itu, terutamanya Aaron apabila dia sekadar menamatkan edisi tahun lalu di pentas separuh akhir ketika bergandingan dengan Bryan Goonting.
“Kami sangat gembira kerana dapat bangkit daripada kekalahan di set kedua dan memastikan kemenangan dalam set ketiga. Kami cuba berkomunikasi setiap kali mendapatkan mata selain cuba bertenang.
“Selepas set kedua, kami hanya cuba yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan permainan. Kami ada ubah corak permainan kepada lebih menyerang di set ketiga,” kata Khai Xing kepada BWF selepas tamat perlawanan.
Menanti pasangan No.1 remaja dunia itu di perlawanan akhir esok adalah satu lagi beregu China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi yang menewaskan Kenta Matsukawa-Yuto Nakashizu dari Jepun 21-17, 21-5.
Sementara itu, Zi Yu-Dania pula melakar kejutan mara ke final selepas menyingkirkan pilihan utama dari China, Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue menerusi aksi tiga set 16-21, 21-16, 21-17 dalam tempoh 71 minit.
“Kami sangat gembira kerana dapat memenangi perlawanan hari ini. Secara jujur, kami tidak fikir banyak dan hanya menampilkan aksi terbaik, sebab itu kami gembira dapat melakukan tugas tersebut.
“Berhubung taktik, kami bermain secara menyerang dan mengambil peluang untuk melakukan smash kerana pertahanan mereka sangat bagus. Jurulatih beritahu kami perlu bermain lebih laju berbanding mereka,” ujar Zi Yu.
Menjelang perlawanan akhir esok, Zi Yu-Dania akan membuat perhitungan dengan beregu Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki yang menewaskan Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine dari Indonesia 23-21, 21-19. – KOSMO! ONLINE