fbpx

GISBH: Kanak-kanak rumah amal percaya kopiah ada berkat Abuya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Hafiz.

KLANG – Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) mengakui berdepan cabaran mendidik kanak-kanak yang terlibat dengan pusat tahfiz di bawah GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH).

Pengerusi PITAS, PU Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, antara cabaran tersebut adalah kanak-kanak GISBH yang telah didedahkan dengan ajaran Aurad Muhammadiah sejak kecil menunjukkan ketaksuban dengan guru-guru mereka.

Katanya, ini termasuk mempercayai kopiah mereka mempunyai berkat daripada Pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau Abuya dan tidak boleh diganti.

“Kita sudah masuk minggu kedua, guru PITAS (seramai 20 orang) yang mendidik kanak-kanak ini perlu cekal berhadapan dengan anak-anak yang sedikit berbeza daripada yang lain.

“Kami bersyukur kerana dipanggil bersama kerana dapat membantu kerajaan negeri dan anak-anak ini supaya mereka keluar daripada kepompong yang tidak sihat.

“Apa yang saya boleh katakan kebanyakan kanak-kanak ini hafazannya bagus. Itu kelebihan yang ada pada mereka seperti menjaga waktu solat dan bangun solat malam.

“Itu kita tidak boleh nafikan bahawa mereka mempunyai akhlak yang baik cuma ada isu akidah dan kefahaman yang perlu dikemaskini, insya-Allah,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Ke 21 Dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2024/1446 Hijrah Kolej/Maahad Hafiz yang disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melaksanakan proses pemulihan akidah dan sosial ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam isu GISBH.

Muhamad Hafiz berkata, fokus pihaknya cuma membantu aspek tilawah dan hafazan ayat suci Al-Quran untuk kanak-kanak tersebut dan kelas bermula pukul 2 hingga pukul 4 petang Isnin hingga Jumaat.

Ujarnya, pada sebelah pagi kanak-kanak itu terlibat dengan program akademi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kelas akidah melibatkan seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti manakala PITAS, kami memfokus kepada bidang hafazan dan tilawah ayat suci Al Quran,” ujarnya.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI