fbpx

Dengar suara Judika, saya ‘naik hantu’, bersemangat – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti mengakui sering 'naik hantu' setiap kali mendengar suara penyanyi Indonesia, Judika membuat persembahan.- IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sering ‘naik hantu’ setiap kali mendengar suara penyanyi Indonesia, Judika membuat persembahan.

Bakal bergabung dalam konsert The Journey Of Sound Siti Nurhaliza X Judika pada 14 Disember depan, kata Siti dia sangat mengagumi kehebatan Judika.

“Setiap kali saya melihat Judika menyanyi saya akan ‘naik hantu’. Bila mendengar suara dia saya jadi lebih teruja dan bersemangat.

“Saya suka berada di atas satu pentas dengan penyanyi yang mempunyai karakter, karisma dan aura tersendiri.

“Bila menyanyi bersama Judika, saya dapat rasa benda itu. Judika seorang penyanyi yang boleh menyanyi pelbagai genre lagu termasuklah irama tradisional,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut, kelmarin.

Tambah Siti lagi, peminat sering bertanya bila dia mahu berkolaborasi dengan Judika dalam satu konsert dan akhirnya permintaan itu menjadi kenyataan.

Kongsi Judika lagi, Siti adalah penyanyi yang dia tidak bisa tolak andai diminta untuk bekerjasama.

“Bila pihak penganjur hubungi dan beritahu ingin menggabungkan saya dan Siti dalam sebuah konsert, saya terus setuju.

“Bila dengar nama Siti, tiada kata tidak daripada saya. Saya merupakan peminat Siti sejak dari dulu.

“Tambahan pula konsert ini bakal diadakan di Stadium Merdeka sebuah lokasi yang sangat bersejarah. Saya sungguh teruja dan terharu,” jelasnya.

Dianjurkan oleh Universe Gateway, tiket untuk menonton konsert istimewa ini sudah boleh dibeli bermula 12 Oktober menerusi laman sesawang, ticket2u.com.my.

Harga tiket bermula serendah RM199 sehingga RM1,299. Bagi 10 ribu pembeli tiket terawal yang berharga RM500 ke atas layak menyertai cabutan bertuah dan bakal memenangi sebuah kereta BMW. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI