KOTA BHARU – Seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup selepas didapati memiliki kenderaan, memandu dan menunggang motosikal tanpa lesen di beberapa buah lokasi di Ketereh dekat sini kelmarin.
Kesemua PATI itu ditahan semasa Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dan penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh (MDK) menjalankan Ops Bersepadu bermula kira-kira pukul 6 petang.
Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, PATI yang diberkas terdiri daripada seramai 19 lelaki warga Myanmar, wanita Myanmar (tujuh), lelaki Bangladesh (enam), lelaki Kemboja (tiga) dan seorang lelaki warganegara Indonesia.
Menurutnya, mereka ditahan di sebuah kedai di Kampung Chenderong Beta, sebuah premis di Kampung Kubang Tin, sebuah asrama di Kedai Mulong dan beberapa buah rumah di sekitar Melor.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati, kebanyakan warga asing itu memiliki kenderaan selain memandu dan menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.
“Pihak JPJ turut menyita kenderaan yang dimiliki dan digunakan oleh PATI semasa serbuan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Akhtarulhaq memberitahu, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) akta sama dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI. – KOSMO! ONLINE