fbpx

Kamera badan: Kes rasuah, salah guna kuasa pegawai kastam menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anis Rizana ketika gimik memakaikan Body Worn Camera (BWC) kepada anggota dan pegawai kastam pada Majlis Pelancaran Body Worn Camera (BWC) di Bangunan AMC, Sepang, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

SEPANG – Penggunaan peranti pemakaian kamera badan (BWC) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyaksikan keberkesanan apabila statistik aduan yang diterima melibatkan tatakelakuan, rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pegawai menunjukkan pengurangan sebanyak 38.46 peratus atau lima kes.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sebelum penggunaan BWC dari 1 Ogos 2022 sehingga 31 Julai 2023, sebanyak 13 kes direkodkan oleh JKDM, berbanding hanya lapan kes yang diterima setelah BWC digunakan bermula 1 Ogos 2023 sehingga 31 Julai lalu.

Menurutnya, hal ini membuktikan keberkesanan penggunaan BWC di kalangan pegawai JKDM di lapangan dan secara tidak langsung telah meningkatkan tahap integriti pegawai tersebut.

“Kita telah edarkan sebanyak 60 unit BWC dan ia berjalan dengan baik di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan BSI (Bangunan Sultan Iskandar) di Johor.

“Jumlah aduan (yang diterima) juga telah menurun daripada 13 kepada lapan kes dan diharap dengan pelaksanaan (projek) secara rintis BWC ini selama 36 bulan, kita boleh lihat penambahbaikan dari segi tata kelola, tadbir dan integriti dalam kalangan pegawai JKDM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran BWC JKDM di Bangunan Pentadbiran AMC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, pemakaian BWC oleh pegawai barisan hadapan JKDM merupakan projek rintis yang dilaksanakan JKDM dengan perolehan sebanyak 60 unit secara sewaan bagi tempoh 36 bulan membabitkan kos perolehan RM1.59 juta.

Jelas beliau, buat masa ini terdapat lima lokasi yang dipilih untuk menggunakan BWC iaitu 12 unit di Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat, 24 unit di JKDM KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, manakala masing-masing sebanyak 12 unit di JKDM Selangor dan Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI