PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat ketetapan untuk terus mempertahankan kerjasama politik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti anggota PN iaitu Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
“Bersatu juga menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang telah diwujudkan melalui PN dapat terus dihormati dan dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu diadakan di Menara Yayasan Selangor di sini malam tadi.
Terdahulu, Wan Saiful berkata, Bersatu membuat ketetapan pilihan raya umum (PRU) hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pandemik Covid-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal.
Menurut beliau, agenda utama Bersatu ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.
Kata beliau, Bersatu komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir ketika ini.
“Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya,” katanya. – K! ONLINE