fbpx

Terbuka Arctic: Zii Kempunan lunas dendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA tidak dapat mempertahankan gelaran Terbuka Arctic yang dimenangi tahun lalu selepas tersingkir di suku akhir sebentar tadi. - AFP

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak dapat menebus kekalahan apabila sekali lagi tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic.

Pada perlawanan yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa, Finland sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu terpaksa akur dengan kekalahan tiga set 15-21, 21-13, 12-21 dalam tempoh 66 minit.

Keputusan itu menyaksikan Zii Jia kempunan untuk melunaskan dendam ke atas Watanabe selepas mengalami kekalahan mengejutkan 15-21, 2-21 pada pusingan pertama kejohanan Terbuka China bulan lalu.

Dalam pada itu, ia merupakan kekalahan ketiga Zii Jia kepada pemain berusia 25 tahun itu dalam tiga pertemuan, sekali gus menyaksikan dia gagal mempertahankan gelaran Terbuka Arctic yang dimenangi tahun lalu.

Biarpun tewas, namun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu wajar diberikan pujian apabila masih meneruskan permainan walaupun bergelut dengan kesakitan selepas kaki kirinya terseliuh di set pertama.

Walaupun cuba untuk memberikan saingan kepada Watanabe, namun kelebihan nyata menyebelahi pemain Jepun itu yang banyak memperagakan pukulan-pukulan mengelirukan sehingga menyebabkan Zii Jia terpaksa bergerak ke seluruh gelanggang.

Ketika berada di penghujung set ketiga, pemain No.4 dunia itu sudah tidak mampu untuk melakukan pergerakan lincah akibat kesakitan yang dialami sebelum Watanabe memastikan kemenangan menjadi miliknya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengalami nasib sama apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-16, 17-21. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI