fbpx

Alimoni termahal selebriti dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKAS pasangan selebriti antarabangsa yang direkodkan berpisah dengan bayaran alimoni paling mahal.

SETIAP pasangan yang berumah tangga pasti mengharapkan perkahwinan mereka kekal selamanya. Bagaimanapun, bukan semua pasangan berpeluang mengecapi kebahagiaan hingga hujung nyawa.

Sesiapa sahaja boleh berdepan kemungkinan bercerai dan tentu sahaja mencetuskan ‘drama’ bagi golongan selebriti terkenal.

Biaya kos perundangan yang tinggi di samping populariti dan pendapatan selebriti itu secara tidak langsung mempengaruhi kadar bayaran yang perlu dilunaskan, sekali gus menentukan jumlah alimoni (bayaran perceraian pasangan bukan Islam).

HibGlam menyenaraikan bayaran perceraian selebriti antarabangsa yang direkod sebagai paling mahal dalam sejarah.

Jeff Bezos dan MacKenzie Scott

Perceraian pengasas laman jualan dalam talian, Amazon iaitu Jeff Bezos dengan bekas isteri, MacKenzie Scott pada 2019 dicatat sebagai antara yang termahal dalam sejarah.

Pasangan itu sepakat untuk membahagikan harta mereka yang dianggarkan AS$136 bilion (RM583 bilion) mengikut persetujuan masing-masing.

Selain itu, Scott turut menerima saham Amazon daripada Bezos sebanyak AS$38.3 bilion (RM164 bilion).

Adele dan Simon Konecki

Penyanyi Adele berpisah dengan bekas suami, Simon Konecki pada 2021. Pasangan itu dikatakan mula menjalin hubungan pada 2011 dan dikurniakan anak lelaki, Angelo pada Oktober 2012.

Enam tahun kemudian mereka berkahwin, namun tidak bertahan lama apabila penyanyi itu mengumumkan mahu berpisah selepas setahun hidup bersama.

Meskipun nilai sebenar bayaran perceraian tidak didedahkan, difahamkan Adele membayar sekitar AS$140 juta (RM600 juta) kepada Konecki sebagai alimoni.

Madonna dan Guy Ritchie

Ratu Pop Dunia, Madonna membayar AS$92 juta (RM394 juta) kepada bekas suami, Guy Ritchie selepas kedua-dua mereka memutuskan untuk berpisah pada 2008.

Perkahwinan selama lapan tahun itu berakhir dengan perpisahan, manakala bayaran tersebut merupakan sebahagian daripada penyelesaian perceraian mereka.

Johnny Depp dan Amber Heard

Perbicaraan kes perceraian pasangan sensasi Johnny Depp dan Amber Heard menuai perhatian khalayak seluruh dunia.

Pada 2022, dunia Hollywood menyaksikan kes berprofil tinggi membabitkan pasangan itu ‘berperang’ di mahkamah.

Masing-masing mendakwa pernah dikasari sehingga menyebabkan gangguan emosi sepanjang tempoh perkahwinan iaitu pada 2015 hingga 2016 sebelum rasmi bercerai pada 2017.

Depp menang dalam kes perbicaraan saman fitnah Heard yang mendakwa didera olehnya.

Juri menetapkan Heard membayar Depp ganti rugi kira-kira AS$10.34 juta (RM44.3 juta), sementara Heard menerima AS$7 juta (RM30 juta) daripada pelakon filem Pirates of the Caribbean itu.

Hrithik Roshan dan Sussanne Khan

Tempoh 14 tahun perkahwinan aktor terkenal Bollywood Hrithik Roshan dengan Sussanne Khan sejak Disember 2000 bernoktah pada 2014.

Memilih untuk membawa haluan masing-masing, difahamkan Hrithik telah membayar sekitar 380 crore (RM18.3 juta) kepada bekas isterinya sekali gus menjadi antara kadar alimoni termahal dalam kalangan selebriti Bollywood.

Biarpun berpisah, mereka tetap menjaga hubungan baik antara satu sama lain demi anak-anak.

Amir Khan dan Reena Dutta

Aamir Khan mendirikan rumah tangga dengan penerbit filem Reena Dutta pada 1986 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Mereka kemudian bercerai pada 2002 dan Aamir memastikan Reena menerima 50 crore (RM2.5 juta) sebagai alimoni daripada perceraian itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI