fbpx

PGA cekup pengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stor yang diserbu oleh PGA Batalion 7 di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah hari ini.

TANAH MERAH – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Lalang Pepuyu di sini hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 9 pagi itu, anggota PGA Batalion 7 turut merampas 102 biji pil kuda, empat gram syabu dan tujuh botol air ketum.

Selain itu, beras seberat 2.4 tan dan 200 kilogram beras pulut turut dirampas.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu hasil maklumat mengenai penyeludupan dadah yang diperoleh pihaknya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di bahagian dapur dan belakang kabinet telah membawa kepada penemuan beg yang mengandungi bahan terlarang itu.

“Kita turut menemui wang tunai berjumlah RM184 dan tujuh botol air ketum dijumpai di dalam tong plastik.

“Siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Mi Tok Ca,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Azhari, siasatan awal mendapati, pil kuda itu dijual kepada penagih-penagih sekitar kawasan Lalang Pepuyu di sini.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambah Azhari, kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI