fbpx

Terbuka Arctic: Magis Sze Fei-Izzuddin ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI-IZZUDDIN dipaksa bermandi peluh sebelum memastikan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Arctic menewaskan Alfian-Ardianto sebentar tadi. - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus menggalas cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland selepas melangkah ke separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, juara Terbuka China itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 23-21, 19-21, 22-20 ke atas pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Berada pada prestasi terbaik ketika ini, beregu No.8 dunia itu menampilkan corak permainan cukup kemas di set pertama apabila mendahului 9-6 biarpun pada awalnya kedua-dua pasangan memperagakan aksi cukup seimbang.

Alfian-Ardianto bagaimanapun kembali memperkemaskan permainan dan merapatkan kedudukan 12-13, namun pasangan negara tetap ‘berdegil’ apabila terus cuba melebarkan jurang mata dengan 16-12.

Aksi bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan terikat 20-20 sehingga memaksa permainan diheret ke penentuan deuce, namun tuah memihak Sze Fei-Izzuddin apabila menamatkan set pertama dengan 23-21 dalam tempoh 24 minit.

Memasuki set kedua, beregu negara masih mengekalkan rentak permainan agresif dan tidak mengendurkan asakan sehingga meletakkan Alfian-Ardianto berada dalam keadaan tertekan sebelum mendahului permainan 11-8.

Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin tersentak seketika apabila pemain lawan mula mengutip mata demi mata dan berjaya mendahului 14-12, namun ia tidak bertahan lama apabila mereka kembali menyamakan kedudukan 16-16.

Kerja keras serta usaha yang ditunjukkan Alfian-Ardianto membuahkan hasil apabila mereka berjaya memenangi aksi set kedua 21-19, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bersambung set ketiga, Malaysia memulakan aksi dengan langkah kanan apabila mendahului 6-3 sebelum melebarkan jurang 15-8 bagi bagi memberi tekanan kepada bekas beregu No.1 dunia itu.

Meskipun ketinggalan, namun Alfian-Ardianto enggan mengalah terlalu awal apabila mengutip mata demi mata dan berjaya menyamakan kedudukan 20-20, namun tuah memihak kepada Malaysia menerusi kemenangan 22-20.

Menjelang aksi separuh akhir esok, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan pemenang perlawanan antara pasangan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Sementara itu, mengiringi Sze Fei-Izzuddin ke separuh akhir esok adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-19, 21-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI