fbpx

‘Mata gelap lihat mangsa, sudah sembunyi kunci kereta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita (tiga dari kanan) yang didakwa memandu kereta Honda CRV di Dungun.

DUNGUN – Suami kepada wanita yang ditahan reman bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan tiga penuntut UiTM Dungun mendakwa telah menyembunyikan kunci kereta daripada isterinya sebelum kejadian Rabu lalu.

Bapa kepada tiga anak itu mendakwa, dia cemas apabila mendapati pintu pagar rumah mereka terbuka luas, manakala kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di depan rumah juga telah tiada.

“Sebelum kejadian, saya dan anak lelaki menunaikan solat sementara isteri saya pula menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya sebenarnya sudah sorok kunci kereta, tidak tahu bagaimana isteri saya boleh jumpa,” katanya.

Azhar berkata, berderau darahnya apabila dimaklumkan salah seorang rakannya tentang kemalangan melibatkan kende­raan dipandu isterinya itu.

Kontraktor pendawaian ­elektrik tersebut berkata, matanya dirasakan gelap melihat empat mangsa bergelimpangan berhampiran kenderaan SUV Honda CR-V terbabit sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Isteri saya sebenarnya me­ngalami masalah kemurungan setelah sedar daripada koma selepas menjalani pembedahan membuang kandungan luar rahim kira-kira 10 tahun lalu.

“Sejak itu, ada masa-masanya dia mendakwa terdengar bisikan luar selain sering berhalusinasi serta bercakap bersendirian,” dakwanya.

Azhar mendakwa dia pernah membawa isterinya berubat secara tradisional tetapi tiada perubahan, manakala ­isterinya enggan menjalani rawatan ­moden.

Dalam pada itu, datuk empat cucu tersebut memohon ban­tuan pengurusan UiTM menga­turkan pertemuan dengan keluarga mangsa bagi menzahirkan permohonan maaf.

“Saya tidak lena tidur memikirkan apa yang berlaku. Saya sangat berharap semua keluarga mangsa memaafkan saya dan isteri.

“Saya sudah menjaga isteri selama 10 tahun dengan baik. Kejadian yang berlaku memang di luar jangkaan,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Dalam kejadian 7.20 malam pada Rabu lalu, seorang suri rumah yang dipercayai mengalami kecelaruan mental direman selama empat bagi membantu siasatan selepas melanggar empat pelajar UiTM Dungun ketika memandu SUV jenis Honda CR-V.

Nahas itu mengorbankan tiga mangsa iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25. Seorang lagi rakan mereka iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula cedera parah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI