fbpx

Anwar hadir ke Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir ke Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19, hari ini. – Foto FACEBOOK ANWAR

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 yang membabitkan perbincangan dalam kalangan 18 negara anggota EAS.

Anwar berkata, beliau menggunakan ruang tersebut untuk menegaskan komitmen Malaysia dan rakan-rakan negara ASEAN terhadap rantau aman dan stabil serta bebas daripada konflik, khususnya yang tercetus akibat pergeseran kuasa besar.

“Tatkala ASEAN mengetuai usaha untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak sekadar beretorik, sebaliknya menyusulinya dengan tindakan proaktif bagi menyokong peranan ASEAN dan memberikan bantuan kemanusiaan yang diperlukan rakyat Myanmar.

“Saya juga mendesak semua pihak menggunakan instrumen dialog dan tindakan yang selaras dengan perundangan antarabangsa seperti UNCLOS 1982 untuk menyelesaikan pertikaian.

“Saya turut mengulangi desakan supaya masyarakat antarabangsa bersuara menuntut Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi yang berterusan di Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Jelasnya, pada masa sama, Malaysia tidak sama sekali menutup mata terhadap krisis di Ukraine.

“Malaysia tegas menolak sebarang tindakan keganasan dan pelanggaran integriti wilayah. Semua pihak perlu berusaha mencari penyelesaian menerusi dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

“Tatkala mempengerusikan ASEAN tahun depan, Malaysia menyeru rakan-rakan anggota EAS untuk menjulang kebersamaan dan melaksanakan Pelan Tindakan EAS 2024-2028,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI