SKUAD Harimau Malaya meraih pengalaman berharga apabila berjaya mengikat kelab ternama New Zealand, Auckland FC dengan keputusan 1-1 dalam aksi persahabatan tertutup semalam.
Pandangan tersebut disuarakan oleh pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang menyifatkan perlawanan tersebut adalah medan untuk menguji pemain yang dibawa ke negara Kiwi itu pada saingan antarabangsa kali ini.
Kata Pau Marti, semua pemain yang diturunkan telah memberikan aksi terbaik meskipun hanya bersaing dalam aksi menentang pasukan berstatus kelab.
“Saya rasa kita mengharungi perlawanan yang bagus menentang, Auckland FC adalah pasukan yang berkualiti di liga negara ini. Ia adalah ujian yang bagus sebelum bertemu New Zealand nanti.
“Pada separuh masa pertama, kita ketinggalan selepas dibolosi apabila bola terkena tempias pemain kami. Namun, pasukan berusaha untuk bangkit pada babak kedua dengan menukar sembilan pemain.
“Justeru, sebahagian besar pemain dapat beraksi selama 45 minit dan saya bangga dengan komitmen yang diberikan oleh semua orang,” kata pengendali dari Sepanyol itu selepas tamat perlawanan.
Pada aksi di Stadium Go Media itu, skuad tuan rumah meraih gol hasil jaringan Francis de Vries pada minit ke-25, manakala Harimau Malaya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi penyudah Nooa Laine.
Skuad negara dijadualkan bertemu New Zealand dalam aksi persahabatan di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin ini.