ROM – Itali mensia-siakan kelebihan dua jaringan apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Belgium pada saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) yang berlangsung di Stadium Olimpico awal pagi semalam.
Meskipun menampilkan aksi cukup baik untuk mendahului perlawanan 2-0, namun layangan kad merah kepada Lorenzo Pellegrini pada minit ke-40 nyata mengubah situasi perlawanan sehingga membolehkan pasukan pelawat menyamakan kedudukan.
Ketua jurulatih Azzurri, Luciano Spalletti berkata, skuad kendaliannya menampilkan aksi lebih baik berbanding Belgium selain masih mampu memberikan saingan biarpun terpaksa bermain dengan 10 pemain lebih daripada 45 minit.
“Apabila berlaku insiden yang mampu mengubah perlawanan dan anda melepaskan gol dalam masa terdekat, kami hanya boleh mengharapkan nasib. Perkara seperti ini memang merencatkan segala perancangan pasukan.
“Walaupun begitu, kami masih mampu bermain dengan baik dan hampir menguasai aksi di separuh masa kedua. Bagaimanapun, Belgium memanfaatkan sepenuhnya kelebihan mereka di bahagian sayap,” katanya.
Pada perlawanan itu, Itali terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Andrea Cambiaso dan Mateo Retegui sebelum Belgium kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Maxim De Cuyper dan Leandro Trossard.
“Pemain-pemain Itali menunjukkan karakter yang cukup baik selain menampilkan corak permainan menarik. Saya percaya kami boleh menentukan nasib sendiri sekiranya terus menampilkan aksi seperti ini,” ujar Spalletti. – AGENSI