fbpx

Rosmah tidak wajar didakwa, pertuduhan ‘tidak betul’ di sisi undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datin Seri Rosmah Mansor sepatutnya tidak didakwa dalam aktiviti pengubahan wang haram kerana pertuduhan tersebut ‘tidak betul’ di sisi undang-undang.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berhujah, pertuduhan yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri itu juga melanggar kebebasan diri seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Hujahnya, pendakwaan terhadap Rosmah merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana tindakan itu mengurangkan kualiti hidupnya yang dilindungi di bawah Perlembagaan.

Firoz Hussein berhujah, anak guamnya terpaksa membayar kos guaman, jaminan RM1 juta, menghadiri prosiding mahkamah dan pertemuan dengan pasukan peguam selain mengalami kerisauan berpanjangan kemungkinan dipenjarakan sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental.

“Kami berhujah, ketidakadilan prosedur yang berlaku memberi kesan buruk kepada kualiti hidup anak guam. Dengan membenarkan perbicaraan diteruskan akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan proses mahkamah secara terang-terangan,” hujah beliau.

Beliau turut menghujahkan, kegagalan mengisytiharkan cukai pendapatan bukan tertakluk di bawah kesalahan predikat pengubahan wang haram.

Hujahnya, Seksyen 85 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 iaitu kuasa Menteri Kewangan untuk memasukkan seksyen itu ke dalam Jadual Kedua, bertentangan dengan Perlembagaan.

Oleh yang demikian, Firoz Hussein berhujah, Rosmah, 72, sepatutnya dibebaskan daripada semua 17 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah, Seksyen 85 adalah berperlembagaan kerana Menteri Kewangan dilengkapi kuasa untuk memasukkan kesalahan lain yang dikenal pasti sebagai kesalahan serius.

Hujah beliau, penambahan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana ia secara teknikalnya bermakna, mereka yang tidak mengisytiharkan cukai pendapatan dikategorikan sebagai menikmati hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

Hakim K. Muniandy menetapkan 12 November ini untuk menyambung hujahan pihak-pihak terhadap permohonan Rosmah untuk menggugurkan kesemua 17 pertuduhan yang dihadapinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI