PETALING JAYA – Seorang lelaki diburu selepas disyaki melakukan khianat dengan menconteng wajah kucing menggunakan ‘marker pen’ (pen penanda).
Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman TikTok.
Sehubungan itu, PHM menyeru seluruh masyarakat untuk tampil bagi membantu mengesan pelaku.
“PHM tidak dapat menerima dan tidak berkompromi terhadap perlakuan membuli binatang yang lemah jika bukan untuk tujuan defensif diri,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke WhatsApp Hotline Jenayah Haiwan Animal Malaysia di 01171245930 untuk tindakan pihak berkuasa.
Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat di TikTok memaparkan seorang lelaki menconteng wajah beberapa kucing terbiar dengan menggunakan pen penanda. – KOSMO! ONLINE