PETALING JAYA – Khutbah Jumaat di Selangor hari ini menegaskan perbuatan menularkan keburukan dan kekurangan pasangan di media sosial adalah tidak wajar serta melanggar hukum syarak dan akhlak Islam.
Mengikut teks khutbah itu, dalam kehidupan berumahtangga, seseorang itu perlu menyedari bahawa setiap pasangan pasti memiliki kekurangan dan kelemahan kerana sebagai manusia sesiapa pun tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.
Oleh itu, peranan suami dan isteri di dalam sesebuah keluarga bukanlah untuk mencari kesalahan pasangan, tetapi untuk saling melengkapi dan mengimbangi kekurangan yang ada.
“Seorang suami di dalam sesebuah keluarga seharusnya menjadi pelengkap atas kelemahan dan kekurangan isteri dan begitulah juga sebaliknya buat para isteri.
“Ingatlah, di sebalik kekurangan pasangan kita terdapat kelebihan yang Allah SWT kurniakan tanpa kita sedari,” katanya.
Namun begitu, sikap segelintir individu yang menularkan keburukan bukan sahaja mencemarkan maruah pasangan, malah melanggar hukum syarak dan akhlak Islam.
Keharmonian dalam rumah tangga terletak pada sikap saling menghormati dan memaafkan, bukannya memperbesar-besarkan kelemahan atau membuka aib pasangan kepada umum. – KOSMO! ONLINE