BERTAM – Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA, Marcus Lim meraih gelaran Jelajah Toyota keduanya tetapi yang pertama sebagai pemain profesional selepas mengungguli Kejohanan Piala Alphard di Penang Golf Resort semalam.
Memulakan saingan hari terakhir dengan satu pukulan di belakang pendahulu, Edven Ying, Marcus cemerlang mencatat empat bawah par 68 untuk membolehkannya meraih tangga teratas menerusi skor keseluruhan tujuh bawah par 209.
Bagi Marcus, kejayaan itu pastinya membawa makna tersendiri kerana ia diraih bersama hadiah kemenangan bernilai RM31,500 kali ini.
Ketika Marcus menjuarai Piala Supra pada Julai tahun lalu, dia tidak layak untuk menerima ganjaran tunai kerana masih berstatus amatur pada waktu itu sebelum beralih ke taraf profesional bermula Jun lalu.
“Walaupun gembira dapat muncul juara kali ini, namun saya harus perbaiki lagi keseluruhan permainan saya.
“Saya tahu saya mampu mempamer prestasi yang lebih baik dan saya mengharapkan ia dapat ditingkatkan menjelang tiga acara Jelajah Pembangunan Asia (ADT) akan datang.
“Matlamat saya adalah untuk cuba memecah masuk kelompok 10 terbaik ADT pada penghujung musim dan memperoleh hak untuk beraksi di Jelajah Asia tahun depan,” ,” kata Marcus yang pernah membantu Malaysia merangkul pingat emas berpasukan pada Sukan SEA Hanoi 2021.
Di posisi naib juara dengan jurang satu pukulan adalah bintang veteran Ben Leong (68), manakala Edven hanya mampu merekod 71 untuk berpuas hati di tempat ketiga menerusi skor terkumpul 211.
Dalam saingan wanita, Zulaikah Nasser meneruskan kecemerlangan dilakar sewaktu Piala Harrier dua minggu lalu dengan merangkul kejuaraan kedua berturut-turut.
Sekalipun hanya mampu mencatat 75 untuk skor agregat 215, dia masih berjaya mengatasi pencabar terdekatnya, Jocelyn Chee dengan kelebihan dua pukulan sementara Winnie Ng melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan merekod 71 dan skor terkumpul 218. – KOSMO! ONLINE