fbpx

Dua lelaki didakwa rompak iPhone anak kawan guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDUA-DUA tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang terhadap seorang wanita, yang juga anak rakan mereka, bulan lalu.

Tertuduh, Al’Imran Ismail dan Mohamad Adib Mahmood masing-masing berusia 29 dan 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh bersama seorang yang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang dan mengambil sebuah telefon pintar berjenama iPhone milik mangsa, Nur Nabila Mohd. Azmi, 19.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah rumah bernombor Kampung Bukit Larang dalam daerah Melaka Tengah pada 26 September 2024.

Sabit kesalahan kedua tertuduh berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan dengan faktor pemberat kesalahan yang dilakukan kedua tertuduh adalah serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan Al’Imran menyara ibu bapa yang uzur, manakala Mohamad Adib menanggung dua anak masih kecil dan bersekolah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan kedua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 5 November depan untuk sebutan semula serta melantik peguam.

Terdahulu, Kosmo! pada 30 September lalu melaporkan tujuh individu diberkas polis selepas disyaki merompak sebuah rumah bersenjatakan parang dan mencederakan dua penghuni dalam kejadian di Kampung Bukit Larang, Pernu, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan telah dibuat oleh pengadu berusia 19 tahun mendakwa rumahnya telah dirompak sekumpulan lelaki dengan salah seorang suspek merupakan kenalan bapanya sendiri bernama Al’Imran.

Katanya, selepas menggeledah rumah mangsa, ahli keluarga pengadu diarahkan berkumpul di ruang tamu dan suspek mengambil telefon bimbit milik gadis tersebut serta bapanya masing-masing jenis iPhone XS dan Oppo A15 sebelum beredar pada pukul 4.20 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI