fbpx

RM99 juta diperuntukkan bagi program inisiatif Perajurit Broadband

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (dua dari kiri) dan Fahmi ketika di Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Wisma Pertahanan. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM99 juta bagi melaksanakan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) inisiatif Perjurit Broadband bersama Kementerian Pertahanan (Mindef).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jalinan kerjasama strategik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan usaha untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan premis ATM terpilih di seluruh negara, khususnya penghuni Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 73 buah kem tentera akan terlibat sebagai penerima manfaat menerusi pembangunan infrastruktur gentian optik atau dikenali sebagai Fibre To The Home (FTTH).

“Secara asasnya peruntukan ini akan digunakan untuk menjayakan tiga fokus utama iaitu kita mahu memastikan wujud Infrastruktur Fiber Optik di semua 73 kem atau pangkalan yang terlibat, yang secara kasarnya akan melibatkan sebanyak 59,420 pintu RKAT.

“Selain itu yang kedua, kita mahu menambah baik perkhidmatan liputan selular sedia ada di dalam pelbagai kawasan RKAT,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan barisan pengurusan kepimpinan tertinggi Mindef, ATM dan MCMC.

Selain itu Mohamed Khaled berkata, melalui inisiatif itu juga Mindef mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan Internet dengan kos yang rendah terutama kepada warga Mindef dan anggota tentera khususnya anggota Lain-Lain Pangkat yang juga dikategorikan sebagai golongan B40.

“Justeru, saya sangat berbesar hati untuk kongsikan, bagi memastikan kos perkhidmatan yang rendah ini, kita akan turut melancarkan Inisiatif Perajurit Broadband yang menyediakan pakej langganan harga mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps.

“Harga yang murah ini adalah satu pengiktirafan dan cara Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi ketika berucap berkata, inisiatif itu merupakan satu langkah yang dilakukan oleh MCMC dalam menyelesaikan masalah kesaling hubungan yang dihadapi oleh warga ATM.

Beliau turut memaklumkan pihaknya ada memohon peruntukan tambahan kepada MCMC untuk memberikan harga khas sebanyak RM39 selama enam bulan pertama.

“Usaha ini adalah fasa pertama dan seterusnya kita akan meneliti prasarana infrastruktur jaringan komunikasi markas Pejabat Kementeian Pertahanan dan Angkatan Tentera melibat liputan dalaman dan luaran termasuk fiber dan wifi.

“Jadi, ini kita laksanakan dalam fasa kedua. Ada angkanya, tapi saya minta MCMC meneliti dan kita jangka keseluruhan proses pelaksanaan akan mengambil masa 18 ke 24 bulan dan dimulakan lebih rancak pada Januari 2025,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI