SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menang dalam tuntutan saman selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas gurunya supaya membayar ganti rugi berjumlah RM90,000.
Keputusan itu dibuat susulan tindakan guru sekolah berkenaan memukul remaja tersebut yang ketika itu berusia lapan tahun dengan menggunakan penyapu sehingga menerima lima jahitan di kepala pada tahun 2019.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan saman yang dikemukakan remaja itu terhadap tiga pihak termasuk guru besar sekolah sama dan kerajaan Malaysia.
Remaja itu selaku plaintif diwakili bapanya, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41, memfailkan saman terhadap bekas guru wanita berusia 60 tahun yang dinamakan sebagai defendan pertama.
Hazizah dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti semua hujahan, keterangan dan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Selayang yang menolak tuntutan saman itu sebelum ini.
“Mahkamah berpendapat bahawa tindakan defendan menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mengikuti arahan dianggap tidak dialu-alukan pada era ini. Insiden kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah. Ia diharap menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi,” katanya.
Menurut Hakim Hazizah, mahkamah turut mengambil kira faktor rekod disiplin plaintif di sekolah tersebut.
“Pihak sekolah sepatutnya menggunakan kaedah untuk menanganinya. Insiden itu lebih kepada pertikaian antara orang dewasa dan kanak-kanak. Rekod disiplin itu tidak relevan mengenai tingkah laku plaintif ketika yang hanya murid tahun dua ketika kejadian,” katanya.
Tambah Hakim Hazizah, keterangan saksi iaitu pegawai penyiasat turut hanya dianggap sebagai keterangan ‘dengar cakap’ mengenai insiden itu.
“Justeru, mahkamah ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan defendan pertama diarah membayar ganti rugi am RM15,000 selain RM70,000 bagi ganti rugi teladan serta RM5,000 untuk kos rayuan. Mahkamah turut memutuskan defendan dua dan tiga tidak bertanggungan alih terhadap perbuatan defendan pertama,” katanya.
Mengikut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan ketika mahu kembali ke tempat duduknya di dalam kelas, secara tiba-tiba guru itu memukul kepalanya dengan penyapu pada pukul 3 petang, 18 Oktober 2019.
Plaintif mendakwa dia mengalami kecederaan dan pendarahan yang banyak menyebabkan defendan menarik mangsa ke meja guru dan menekan kepalanya dengan tisu basah bagi menghentikan pendarahan. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak sebelum ibu bapanya dihubungi bagi memaklumkan kejadian itu.
Mangsa menerima lima jahitan. Susulan itu bapa plaintif membuat laporan polis pada pukul 6.45 petang hari sama dan memohon penjelasan guru itu yang kemudian mengatakan mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduknya ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
Alasan itu disifatkan sebagai tidak munasabah, bercanggah undang-undang dan tidak berperikemanusiaan, selain mangsa mendakwa ketiga-ketiga defendan cuai dan menuntut ganti rugi am, khas, teladan serta teruk serta permohonan maaf secara bertulis. – KOSMO! ONLINE