fbpx

Covid-19: Aktivis lepas, bebas tuduhan sebar berita palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Zaki (kiri) dan isteri gembira selepas Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menyebar berita palsu mengenai kematian anggota polis akibat vaksin Covid-19, tiga tahun lalu.

KUALA KANGSAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang aktivis kesihatan awam atas tuduhan menyebar berita palsu kematian anggota polis disebabkan suntikan vaksin Covid-19, tiga tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang mewakili Muhammad Zaki Omar, 39, berjaya me­nimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes.

“Setelah mahkamah menimbangkan kesemua keterangan lisan dan dokumentasi yang dikemukakan sepanjang perbicaraan dan hujahan yang difailkan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pihak pendakwaan.

“Ini bermaksud pihak pendakwaan gagal membuktikan kes yang melangkaui keraguan munasabah terhadap tertuduh. Dengan keputusan ini, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Rohaida.

Sementara itu, peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili tertuduh yang ditemui berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan niat tertuduh ketika memuat naik hantaran untuk menuntut pampasan bagi pihak mangsa vaksin bukannya menyebarkan berita tidak benar.

Muhammad Zaki didakwa menggunakan Facebook menerusi profil akaun Muhammad Zaki Omar dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam pada pukul 11.39 malam, 3 April 2021.

Tertuduh menyebarkan berita tidak benar iaitu ‘Akhirnya di Gerik hari ini diperakui satu kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga. #500k’ yang telah dibaca pada 4 April 2021 di Pejabat Ketua Polis Balai dalam daerah Gerik.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang membawa hukuman didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada 6 September lalu, Muhamad Zaki yang berdepan tuduhan komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan berhubung kesan pengambilan vaksin turut dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI