fbpx

RUU 355 tidak dibentang pada sesi Parlimen minggu depan – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentangkan pada sesi Parlimen minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar ketika ditemui hari ini bagaimanapun, tidak mendedahkan lanjut perkara itu.

“Tidak ada (perbentangan RUU 355 pada sesi Parlimen minggu depan) dan belum lagi. Yang itu seperti mana yang diputuskan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pindaan RUU 355 itu tidak akan dilakukan secara tergopoh-gopoh sebaliknya perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah, kecuali hukuman bunuh.

Sementara itu, konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah yang digerakkan Mapim menyasarkan bantuan kemanusiaan kepada lebih 100,000 orang.

Ia membabitkan penyertaan 3,000 sukarelawan dan 20 aset termasuk dapur serta klinik bergerak yang akan dikerahkan ke seluruh Semenanjung bagi menyantuni segenap lapisan masyarakat memerlukan.

Mohd. Na’im berkata, inisiatif kemanusiaan itu dilaksanakan bermula bulan ini sehingga Februari tahun depan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Zus Coffee.

“Konvoi misi jelajah itu akan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, B40, pelajar, anak yatim, orang tua, orang Asli serta mangsa banjir. Program yang dianjurkan Mapim bukan sekadar insiatif kemanusiaan biasa, sebaliknya menjadi simbol pengorbanan, kasih sayang dan kesatuan dalam menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya.

Jelas Mohd. Na’im, matlamat utama jelajah ini adalah untuk menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk mangsa banjir dan pelbagai lagi segmen tanpa mengira kaum dan agama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI