SHAH ALAM – Individu atau pihak yang membuang ikan asing atau spesis ‘alien’ ke dalam sungai di Selangor bakal berdepan tindakan undang-undang mulai tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, pihaknya sedang menyiapkan Enakmen Kawalan Ternakan Ikan Darat dengan memfokuskan kewajipan memohon permit bagi ternakan ikan asing.
“Selain itu, ia pastinya melibatkan kesalahan melepaskan ikan tersebut ke sungai antaranya spesis baung merah, bandaraya dan ‘aligator gar’. Peraturan baharu itu sedang disiapkan dan dalam proses semakan terperinci. Kita jangka ia selesai hujung tahun ini dan akan dikuatkuasakan tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan negeri akan meneruskan program pemberian ganjaran RM1 bagi tangkapan sekilogram ikan Bandaraya bagi mengurangkan populasi spesis itu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pelepasan ikan ‘alien’ untuk membayar nazar atau ritual telah mempercepatkan kepupusan ikan asli tempatan di Selangor khususnya.
Pemilihan ikan khususnya jenis keli afrika atau nama saintifiknya clarias gariepinus yang dikatakan mempunyai daya tahan tinggi amat bersesuaian dengan nazar dibuat golongan tersebut.
Kehadiran ikan penceroboh itu dikatakan boleh memakan mana-mana spesies ikan dengan begitu banyak dan cepat bertindak balas kepada sumber makanan baharu. – KOSMO! ONLINE