ALOR SETAR – “Kami bukan sahaja penat, malah terpaksa menanggung kerugian kerana barangan rosak terendam banjir selain hilang pendapatan ekoran tidak boleh berniaga,”
Demikian kata peniaga, Mohd Fazli Abu Bakar, 33, yang berdepan ujian berganda selepas rumahnya di Kampung Lengkuas, Bukit Pinang di sini dilanda bah buat kali ketiga sejak Rabu lalu.
Menurut Mohd. Fazli, dia terpaksa mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk membeli perabot baharu bagi menggantikan barangan yang rosak akibat banjir dalam kejadian pertama pada pertengahan bulan lalu.
“Selepas beli perabot baharu, datang dua lagi banjir menyebabkan ada (barangan) yang basah. Dalam kejadian ketiga ini, saya angkat semua perabot dan barangan elektrik ke kawasan tepi jalan depan rumah yang lebih tinggi dan ditutup dengan kanvas.
“Kerusi kayu pula saya gantung pada bumbung rumah bagi mengelak terkena banjir dan hujan. Cuma saya harap air cepat surut dan tiada bah lebih buruk. Risau juga sebab ramalan berlaku air pasang besar pada 18 Oktober ini,” katanya di sini semalam.
Lelaki itu memberitahu, dia juga kehilangan pendapatan apabila tidak dapat membuka gerai cendol di Hutan Kampung sepanjang bencana banjir.
“Masa banjir kali pertama dan kedua, saya tidak buka gerai seminggu, sekarang sudah dua hari tidak berniaga. Memang terasa sebab saya perlu keluarkan wang untuk beli perabot baharu, sedangkan saya hilang pendapatan kerana tidak boleh berniaga,” ujarnya.
Sementara itu, ibunya, Noraini Shafie, 58, berkata, dia sekeluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kejadian banjir pertama kerana PPS berhampiran rumah penuh.
“Cuma ada PPS yang terletak agak jauh, jadi kami tidak pindah sekali gus tidak melayakkan kami mendapat bantuan wang tunai daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kali ini, pada waktu siang saya dan anak tinggal di dalam rumah sahaja walaupun dalam keadaan masih digenangi air. Pada waktu malam, saya tidur di rumah jiran, manakala anak tidur di dalam kereta,” jelasnya.
Dia juga mengakui penat berhadapan dengan kejadian banjir yang kerap berlaku tahun ini.
“Saya reda dengan ujian ini, cuma saya berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan juga bantuan kepada mangsa terjejas banjir yang tidak berpindah ke PPS. Bukan tidak mahu pindah, kami sudah ke PPS berdekatan tetapi penuh.
“Datang sendiri tengok keadaan rumah, kami juga alami kerugian akibat kerosakan harta benda dan hilang pendapatan kerana anak tidak boleh keluar berniaga. Bukan saya sahaja, malah ada ramai lagi senasib dengan saya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE